Sunday, December 26, 2010

~ NiLAi-NiIAi SaTu MAlAySiA ~


NILAI-NILAI 1  MALAYSIA ( KONSEP SATU MALAYSIA )


Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. 

Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji  kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.

7.2.6 Dalam   menangani kegagalan,  pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu  diambil bagi menghasilkan perubahan  yang lebih besar dan menakjubkan.

7.2.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

3. RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat  Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu,  Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.

7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


5. KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi.  Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. 

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran. 

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik. 

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang  kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

6.  MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju  yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1  Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan  pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru  adalah menjadi  tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.

7.6.2 Meritokrasi menekankan  persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi  kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia  dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.  PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan  adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai  minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada  sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi  dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran  hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

8. INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan  diperoleh  melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak  daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji  dan masa  adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran  dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan  dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. 

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan.  Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain.  Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat  sebagaimana kehendak  prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.  Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

No comments:

Post a Comment