Saturday, March 2, 2013

IlmU : SeJaRaH tEnUnAn pAhAnG : sOnGkEt


Sejarah Tenunan Pahang : Songket

Apabila Belanda menyerang dan menawan pelabuhan Makassar di Sulawesi pada tahun 1669, ramai dalam kalangan orang bugis meninggalkan tanah tumpah mereka lalu merantau dan meneroka penghidupan baru di kepulauan Riau, Sumatera, Borneo, hingga sampai ke Semenanjung Tanah Melayu, Orang Bugis yang terkenal gagah berani turut mengelek adat resam, susur galur salasilah serta pengaruh ekonomi. Dalam pelayaran menyusuri pantai dan Laut Cina Selatan dengan menggunakan perahu layar dan kapal pedagang, akhirnya sampailah orang – orang bugis itu ke bumi Pahang yang lebih dikenali sebagai negeri Inderapura. Penghijrahan orang – orang Bugis ke Pahang menerapkan sedikit sebanyak pengaruh da kebudayaan dalam kehidupan masyarakat tempatan.

            Salah satu percikan seni budaya Bugis yang diterima dengan senang hati oleh rakyat peribumi ialah satu unsur dalam rekacorak Kain Sarung bagi lelaki dan Kajang Sangga bagi wanita iaitu sejenis kain tenunan yang diperbuat daripada bahan benang sutera asli.

            Adalah bukti sahih bahawa pada abad ke – 16 Masihi, antara orang Bugis yang masuk ke negeri Pahang Inderapura, terdapat seorang pembesar yang bernama Keraing Aji. Beliau disifatkan sebagai pelopor rekacorak baru dalam pemakaian kain sarung dan kain samping. Keraing Aji seperti mana disebut – sebut seringkali memakai Dagang Luar dan Dagang Dalam dari bahan tenunan sutera permai yang dibawanya dari daerah Sulawesi, Aceh dan Riau. Selain memperkenalkan beberapa corak tertentu Keraing Aji yang bermastautin di Kampung Mengkasar Pekan, diceritakan terdapat pengetahuan tentang pengetahuan dalam bidang menenun sutera.

Oleh yang demikian, maka ramai wanita khasnya surirumah berhasrat mempelajari cara – cara membuat kain tenunan daripada beliau. Di kediamannya, Keraing Aji yang semakin dikenali dengan panggilan Tuk Tuan telah membimbing anak buahnya beberapa kaedah menyediakan peralatan mewarna sutera mentah, seterusnya mengubung, menereu dan mencorak serat sutera sehingga tercipta fabrik bermutu.

            Tambahnya, bagi mengukuhkan lagi bukti sejarah asal usul Tenunan Pahang dimashurkan oleh orang Bugis, seorang penulis inggeris iaitu, Dr. W. Linehen mencatatkan bahawa “Tuk Tuan (Keriang Aji) seorang pembesar Bugis telah masuk ke Pahang pada tahun 1722, beliaulah yang memperkenalkan kain tenunan tangan kepada penduduk negeri Pahang, khasnya bagi penduduk di derah pekan”.

            Kepandaian Tuk Tuan dalam bidang menenun serta menzahirkan reka corak baru menyebabkan beliau dikagumi oleh masyarakat. Bekas pembesar Bugis ini memanfaaatkan usianya dengan memberikan tunjuk ajar dan melatih para penenun menghasilkan fabrik halus permai sehinggalah hujung hayatnya. Jasadnya disemadikan di perkuburan Islam Kmapung Mengkasar, Pekan, Pahang.

            Sekembalinya Tuk Tuan ke Rahmatullah, tidak mematahkan semangat anak buahnya meneruskan kerja menenun dan menzahirkan reka corak yang lebih gemilang. Bahkan di dalam kebanyakka rumah melayu di daerah Pekan tedapat peralatan kayu ‘kek’ yang dimanfaatkan oleh surirumah dan gadis – gadis pada waktu terluang untuk menenun bahan pakaian untuk keluarga dan juga untuk dijual sebagai sumber rezeki kehidupan mereka.

            Kewujudan fabrik tenunan asli di Pahang khususnya dan di semenanjung Tanah Melayu umunnya diperkuatkan lagi oleh T.J Newbold dalam bukunya yang menyatakan; “ Bahawa ada seorang berbangsa Inggeris yang bernama Gray, telah menjualkan satu tong sutera mentah yang sudah rosak akibat air hujan. Harga bagi satu tong sutera mentah itu ialah RM305.

            Adanya catatan sedemikian oleh kedua – dua penulis Inggeris itu membuktikan bahawa fabrik tenunan tradisi orang Melayu sesungguhnya menarik perhatian kerana mempunyai nilai yang tersendiri. Secara tak langsung  Inggeris yang pada masa itu cukupo berpengaruh dalam pentadbiran Semenanjung Tanah Melayu turut berperanan memajukan perusahaan menenun sutera menjadi suatu industry yang lebih menguntungkan rakyat setempat.

Pewarnaan Tenunan

Suatu ketika dahulu penenun tradisional Pahang mengunakan bahan – bahan asli seperti tumbuhan dan daun – daun sebagai bahn pewarna. Warna asli ini mempunyai impak yang kuat terhadap kecantikan ke atas tenunan yang dihasilkan.

            Kini pewarnaan kain tenunan dipermudahkan dengan menggunakan pewarna sintetik, namun pewarna asli tetapi mempunyai nilai kormesial yang tersendiri. Kehadiran pewarna sintetik yang mudah di dapati dalam scenario perusahaan Tenun Pahang telah menyebabkan seni membuat pewarna asli semakin pupus.

Pewarnaan Gentian Sutera

Kebanyakkan pewarna asli didapati dari kulit sepang, bakau, kunyit, daun jering dan bunga atua buah kesumba. Kehadiran pewarna sintetik dari Negara China dan India berlaku selepas Perang Dunia Ke – 2, menyebabkan penggunaan warna asli semakin berkurangan. Penggunaan warna sintetik adalah lebih mudah manakala bahan untuk membuat warna asli berkurangan dan prosesnya mengambil masa yang lebih panjang.

            Dalam proses pewarnaan asli, warna yang dihasilka juga tidak menentu disebabkan pengaruh faktor – faktor seperti cuaca dan lam sekeliling yang ada hubungkait dalam pengawalan hasilan warna. Sesuatu bahan yang sama tidak dapat mengeluarkan warna yang sama setiap kali proses namun setiap warna yang dihasilkan adalah unik dan menarik. Kelebihan pada fabrik yang menggunakan pewarnaan yang asli, semakin lama, semakin matang, cantik serta terang warnanya.

            Warna – warna asli ini merupakan warna – warna tradisi yang telah menghiasi dan mewarnai Tenunan Pahang sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Antara warna asli yang dihasilkan ialah;



Kuning à kulit bawang merah, kunyit, dan pokok kayu cendana kuning.
Merah à pokok kayu sepang.
Hijau à daun cekur manis, tunas rambutan dan daun pandan.

Antara bahan – bahan untuk pewarnaan asli yang akan menghasilkan warna – warna semulajadi;


  • 1.      Bunga telang (California Tertatea)
  • 2.      Bunga kertas (Bougavilla)
  • 3.      Bunga raya (Hibiscus Rosa)
  • 4.      Bunga kekwa (Chrysanthemum)
  • 5.      Bunga ros merah (Rosa)
  • 6.      Bunga keembung (Impatiens Balsamina)
  • 7.      Daun tea (Melaleuca Alternifolia)
  • 8.      Daun turung atau tarom (Dissandra Frutenscens)
  • 9.      Daun pucuk manis (Phyllanthus Oxyphyllus)
  • 10.  Daun ati – ati (Olenostemuon Scutellarioides)
  • 11.  Daun manga (Maggirefa Indica)
  • 12.  Daun bemban (Donax Grandis)
  • 13.  Rambutan (Nephelium Lappaceum)
  • 14.  Manggis (Garcinia Mangostana)
  • 15.  Kulit bawang besar (Crinum Asiaticum)
  • 16.  Jambu batu (Psidium Gaujava)
  • 17.  Bunga tulang, daing, semarak api, daun inai, daun jati kulit sepang (Caesalpinia Sappan)

 Penyediaan Warna Semulajadi.

  • 1.      Kulit bawang merah yang telah dikupas dimasukkan ke dalam air panas.
  • 2.      Kulit bawang yang direbus dikacau hingga rata.
  • 3.      Rebusan dibiarkan mendidih sehingga air rebusan berubah warna.
  • 4.      Proses pewarnaan berikut menggunakan kulit bawang merah.
  • 5.      Air rebusan di tapis untuk mengasingkan kulit bawang merah yang diperlukan.
  • 6.      Gentian sutera perlu direndam dalam air tawar dibancuh dengan tawas.
  • 7.    Gentian kemudian dibilas dan dikeringkan.
  • 8.    Pewarna yang telah ditapis tadi dimasukkan dalam periuk.
  • 9.   Benang yang telah dibilas akan dimasukkan ke dalam pewarna kulit bawang merah dan direndam.
  • 10.  Benang dikacau bersama pewarna sehingga rata.
  • 11. Benang dan pewarna kulit bawang merah direbus sehingga mendidih.

Tenunan Pahang : Dari Benang menjadi Selembar Kain.

Gentian sutera merupakan bahan utama dalam pembuatan Tenunan Pahang pada zaman dahulu. Gentian sutera dipercayai telah dibawa masuk negeri China. T.J.Newbold di dalam bukunya “Political and Statistical Account of the British Empire in theStraits of Malcca” menyatakan bahawa seorang Inggeris bernama Gray telah menjual satu tong sutera mentah, yang telah rosak kena hujan, dengan harga $350.00 pada 21.1.1827. Newbold juga turut menyatakan bahawa barang yang paling mustahak dibawa masuk ke Pahang dari Singapura dan Melaka ialah sutera.

            Proses menenun in pernah dicatat semasa G.M.Laidlaw menjadi Pegawai Daerah Pekan pada tahun 1917. Kerja – kerja menenun yang dilakukan suatu ketika dahulu masih berterusan sehingga sekarang. Proses menenun melibatkan sembilan proses, bermula dari melikas, mewarna, menerau, menganing, menyusuk, menggulung, mengarat, menyongket dan proses yang terakhir ialah menenun.

1.       Melikas –
Proses mengasingkan benang mentah supaya tidak kusut. Benang mentah dibahagikan kepada bahagian (30 untai) dan kemudian direndam semalaman dengan air abu daripada manggar kelapa atau kulit durian. Benang mentah boleh direndam menggunakan tawas. Kemudian dibilas dan direbus dengan air biasa bagi membuang kanji atau bahan – bahan yang tidak diperlukan. Kemudian benang ini diwarnakan mengikut reka corak kain yang kan ditenun.

2.      Mewarna (Pewarnaan Asli) –
Antara bahan pewarna asli yang biasa digunakan seperti kulit bawang (kuning keemasan) daun tarum (biru), pokok senduduk (ungu) . bahan – bahan in dibersih dan direbus. Selepas itu dimasukkan benang yang telah dibersihkan ke dalam bahan perwarna dan dicelup sehingga warna sekata. Kemuian benang ditoskan dan direbuskan daripada sisa warna. Akhir sekali benang dimasukkan ke dalam campuran air kapur bagi mendapatkan kesan warna yang lebih terang atau tua. Benang direndam beberapa ketika di dalam air kapur kemudian ditoskan dan dijemurkan sehingga kering di tempat yang teduh dan berangin.

3.      Menerau –
Memindahkan benang dari gelkungan peleting(sekoci). Proses ini dilakukan setelah benang yang diwarna kering. Rahat dan guwing adalah alat yang digunakan untuk menerau. Pelbagai warna benang diterau untuk mendapatkan corak yang dikehendaki.

4.      Menganing –
Menyusun peleting yang telah diisi dengan benang di atas meja atau tempat anian untuk menyedikan benang loseng mengikut lebar dan panjang kain yang diperlukan.

5.      Menyusuk atau menyampuk –
Memasukkan benang ke dalam gigi jentera menggunakan jarum penusuk atau pengait. Dua urat benang untuk satu lubang gigi jentera. Seterusnya benang akan disambung ke pesa.

6.      Menggulung –
Benang digulung ke papan penggulung. Apabila proses ini sempurna, beang dihubungkan pula kepada kepada karap seterusnya diletakkan ke atas kek.

7.      Mengarat –
Proses membahagikan benang – benang kepada dua lapisan (atas dan bawah).

8.      Menyongket –
Kerja – kerja menyongket dilakukan untuk menghasilakn reka corak dan motif dengan menyusun bila – bilah nibung.

9.      Menenun –
Proses menenun bermula apabila kayu pemijak digerakkan bagi melakukan proses pengasingan benang loseng. Pada masa yang sama benang pakan dilontar menggunakan torak di antara dua lapisam benang losen g tersebut. Penenun perlu memberikan perhatian sepenuhnya terutama semasa menenun reka corak pada sesehelai kain tenun.

Jenis – jenis Kek
a. kek tenun biasa
b. kek tenun biasa
c. kek tenun siam

Peralatan Menenun.
1.      Papan Gulung
2.      Torak
3.      Cuban
4.      Peleting
5.      Alat Guwing
6.      Alat Rahat
  
Menggerus Kain Tenunan.
Menggerus kain adalah cara tradisional untuk melicin dan memadatkan kain supaya kelihatan halus dan berkilat. Kemahiran menggerus ini dipercayai dibawa masuk ke tanah melayu oleh pedagang – pedagang dari tanag Bugis (Sulawesi) di antara abad ke 17 dan 18 masihi.

            Kegiatan ini berkembang ke beberapa buah negeri seperti di Jugra, Selangor; Pekan, Pahang; Kuala Langsar, dan Sitiawan, Perak; Mura dan Batu Pahat, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu. Peralatan dan bahan menggerus yang diperlukan adalah papan gerus, joran (kayu yang digunakan untuk menggerakkan kulit siput), siput gerus (cowry shell) , damar batu dan lilin lebah.
           
            Damar batu digosok di permukaan papan gerus sebelum kerja – kerja menggerus dijalankan. Kain yang hendak digerus perlu disapu dengan lilin lebah terlebih dahulu supaya kerja – kerja menggerus dapat dilakukan dengan mudah. Kain kemuiannya dibentang di atas permukaan kain sedikit demi sedikit sehingga selesai. Proses menggerus ini memampatkan dan meratakan permukaan kain kelihatan licin dan berkait.

            Kain tenunan songket, tenun dan batik pelangi adalah antara kain yang biasa digerus dan kemudian anggun digayakan sebagai sampan, kain kelubung, kain dagang luar, selendang, setengan (sapu tangan) atau tengkolok. Dahulu kain bergerus menjadi pakaian kebesaran bagi kebarat diraja dan pembesar istan raja – raja Melayu.

Berikut adalah teknik menggerus kain tenunan;

1.    Gerus Mentah – kain yang digerus tidak perlu dikanji. Permukaan kain disapu dengan lilin lebah sebelum digerus. Biasanya gerus mentah dilakukan pada kain yang dijadikan sampan, sarung atau kelubung.
2.      Gerus Masak – kain yang hendak digerus perlu dikanji terlebih dahulu dan biasanya dilakukan pada kain yang hendak dijadikan tengkolok.
3.      Gerus Layang – teknik ini dilakukan pada kain yang telah ditelepuk. Hal ini bertujuan memampatkan perada emas supaya melekat rapi di atas permukaan kain.

Penjagaan kain gerus secara tradisional.
Kain yang telah digerus perlu diasao terlebih dahulu untuk menjauhkan serangan serangga perosak kain. Kemudian kain digulung dan dibalut kemas sebelum disimpan. Kain yang digulung disimpan di dalam batang buluh.

Antara peralatan untuk menggerus;
1.      Kayu alas – bahan ini diperbuat darioa kayu cermai. Ukurannya pula tidak kurang daripada 2 meter serta mempunyai lurah pada kempat – empat penampang.
2.      Batang joran, Siput gerus dan Papan gerus
3.   Buah relak – bahan tradisional yang digunakan semasa memcuci kain yang hendak digerus supaya kain berbau harum.
4.      Kanji dan Damar batu
5.      Lilin lebah (lilin sambang)

Proses menggerus;
1.      Lilin lebah disapu di permukaan kain yang digerus secara menyerong (45 darjah).
2.      Menyapu damar batu di alur papan gerus.
3.      Proses menggerus dimulakan mengikut peringkat. Kulit siput diletakkan di bahagian hujung joran sebagai alat untuk menggerus. Kain digerus bermula dari tepi mengikut urutan benang pakan.
4.      Kemudian kain digerus mengikut benang loseng sehingga selesai.

Tenunan Pahang : Reka Corak dan Motif

Reka corak dan ragam hias yang halus buatannya menghiasi kain Tenun Pahang. Simbol – simbol tertentu pada reka corak kain atau tekstil menjadikan sebagai lambing darjat, identiti kaum, kepercayaan, ritual keagamaan dan sebagainya. Begitu juga keindahan kain Tenun Pahang yang tidak dapat dipisahkan dari reka corakny yang tersendiri. Pelbagai motif, corak dan warna yang berlainan terdapat pada kain tenun Pahang.
           
Kain tenun Pahang bercorak adalah hasil daripada jalinan tenun benang pakan dan loseng yang berwarna. Terdapt juga benang emas yang diletakkan sebgai pengapit di antara motif jalur atau garis kecil, agar menyerlahkan keindahannya.

Sarung tenun bercorak pula dibahagikan kepada kain bercorak melintang, memanjang, corak Rawa atau Bugis dan corak Muar. Terdapat juga penggunaan benang emas yang menghasilkan motif garis halus atau kesan bunga – bunga kecil, bertabur menghiasi kain.

Kain tenunan Pahang yang menggunakan teknik ikat dengan corak berjalur dan corak mendatar dan menegak. Kain tenun Pahang dijadikan kain sampan untuk melengkapkan pakaian baju melayu bagi kaum lelaki dan kain sarung atau baju pasang bagi wanita. Kebiasaannya baju tenun Pahang ini dijadikan pakaian pengantin.

Berikut adalah antara reka corak dan motif tenun Pahang;

1.      Reka corak tradisional
a.       Corak jalur melintang atau berdiri
b.      Corak jalur
c.       Corak usek
d.      Corak tubok sekampung
e.       Corak selumbar nibong
f.       Corak Pahang
g.      Corak jalur melintang di tengah
h.      Corak biji peria
i.        Corak batang pinang
j.        Corak bunga cengkih
k.      Corak anak lebah
l.        Corak pucuk rebung
m.    Corak cindai

2.      Reka corak kini (kontemporari)
a.       Corak tun razak
b.      Cora tengku ampuan
c.       Corak tok muda
d.      Corak orang kenamaan
e.       Corak datuk Bandar
f.       Corak tapak catur
g.      Corak mengirng
h.      Corak belah buluh
i.        Corak datuk Mahmud
j.        Corak beranak
k.      Corak seluang mudik
l.        Corak bugis

Motif Tenunan Pahang;
Ragam hias masih dipertahankan terutamanya dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabor.

1.      Motif kain songket terditi daripada duan unsur alam dan tumbuhan
2.      Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atu pucuk dan bahagian tampuk buah – buahan.
3.      Motif – motif reka corak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga – bungaan.
4.      Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometrik
5.      Motif – motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penug, bunga bertabur atau susunan bercorak.
6.      Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan di kepala kain.
7.      Manakala motif ‘awan larat’ pula dijadikan sebagai kaki kain.

Antara motif yang digunakan dalam ragam hias kain tenun;
a.       Motif Bunga Tanjung
b.      Motif Lipat Empat Puluh
c.       Motif Kepala Bunga Cengkih
d.      Motif Bunga Tanjung
e.       Motif Jari Lipan

Simbol dan Keindahan Tenunan Pahang.

Keindahan kain tenunan Pahang boleh dilihat melalui cara pemakaiannya yang dilengkapi dengan kain sampan dan dipadankan dengan baju Melayu teluk belanga. Selain itu, kain tenunan Pahang ini juga dipakai dengan baju kurung kotong warna hitam, seluar pak sekerap berwarna hitam. Pakaian ini dilengkapkan dengan kain sampan benang halus warna hitam, bengkung mengikut warna pahlawan masing – masing, tanjak ikatan Bugis dan selendang hitam yang dipakai pada bahu kiri. Sambil itu si pemakai memegang keris yang terhunus supaya keselamtan diri terjamin.

Kepelbagaian Kegunaan Produk Tenun Pahang.

Kehalusan sutera tenun Pahang bukan sekadar pelengkap busana diraja, golongan istana, para pembesar negeri dan bangsawan, bahkan warisan ini turut dijadikan cenderamata. Walaupun begiitu, kini terdapat pengusaha yang terus menghasilkan sampan dan pakaian wanita dari kain tenun Pahang untuk dijadikan pakaian harian.

            Industri tenun Pahang kini semakin terkenaldan telah turut menyumbang kepada pembangunan industri kraf tradisional Malaysia, walaupun pada masa yang sama turut menghadapi masalah dari segi pembangunan produk, pengeluaran dan pemasaran.

            Aspek yang sangat diambil kira di dalam pembangunan produk tenun Pahang ini adalah berkisarkan tentang reka corak, warna dan kualiti produk. Kebanyakkan penghasilannya bergantung kepada permintaan ekonomi dan keperluan. Berikut adalah antara produk yang dihasilkan melalui proses tenunan, selain daripada pakaian. 

No comments:

Post a Comment